Ilmu pertama yang wajib anda fahami untuk kurus adalah tentang Kalori. Kalori (kcal) adalah unit untuk tenaga. Badan kita perlu mendapatkan tenaga daripada makanan dan MINUMAN untuk berfungsi. Ya, termasuk minuman! Masalahnya, kebanyakan daripada kita menelan lebih banyak kalori daripada yang kita perlukan setiap hari. Istimewanya tentang badan kita adalah ia tidak akan membazirkan atau membuang sebarang kalori yang kita ambil. Akibatnya, lebihan kalori ini disimpan di dalam badan dalam bentuk LEMAK. Apabila proses ini berulang setiap hari dan setiap kali kita makan, badan kita menyimpan terlalu banyak lemak yang menyebabkan kegemukan atau obesiti. Menurut American Council of Exercise (ACE), peratusan lemak 25% ke atas untuk lelaki dan 32% ke atas untuk wanita adalah dikategorikan sebagai obes. Anda sekarang mungkin tertanya-tanya, berapa banyak kalori yang kita perlukan setiap hari?
Keperluan kalori badan
Kegunaan tenaga oleh badan kita boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu :-
1. Kadar Metabolik Asas atau Basal Metabolic Rate, BMR (60% - 75%)
Kadar metabolik asas adalah tenaga yang diperlukan badan dalam keadaan rehat. Tenaga ini adalah untuk menampung fungsi organ penting seperti otak, jantung, hati, ginjal, otot dan lain-lain yang penting untuk nyawa. Anda boleh menggunakan persamaan Harris-Benedict di bawah untuk MENGANGGAR kadar metabolik asas anda:-
BMR lelaki (kcal) = 66 + (13.8 x berat dlm kg.) + (5 x tinggi dlm cm) - (6.8 x umur)
BMR wanita (kcal): BMR = 655 + (9.6 x berat dlm kg.) + (1.8 x tinggi dlm cm) - (4.7 x umur)
2. Pencernaan (10% - 15%)
Makanan yang anda makan perlulah diproses di dalam perut sebelum boleh diserap ke dalam darah untuk digunakan. Proses ini dinamakan sebagai pencernaan.
3. Aktiviti (20% - 35%)
Aktiviti merupakan segala pergerakan yang anda lakukan sepanjang hari termasuklah berjalan, berlari, menaiki tangga, senaman, bercucuk tanam, mengemas rumah dan sebagainya.
Baca seterusnya, Rahsia Kurus untuk mengetahui bagaimana anda boleh memanupulasi maklumat ini untuk kurus dengan cepat dan berkesan.
No comments:
Post a Comment